tiada deskripsi #26

Ini cerita aku dengan Manis. Manis, anak perempuan ketua kampung dekat tempat aku. Oh iya, kalau nak tahu Manis itu gadis paling cantik dalam kampung. Aku antara yang suka Manis selain daripada Amin. Aku benci Amin sebab masa dekat sekolah dia selalu curi choki choki aku dalam beg power rangers warna merah yang emak beli. Apa aku mahu, semua Amin mahu juga. Penyibuk betul. Ish.

Tapi kali ini memang betul cerita aku dengan Manis sahaja. Amin tak wujud.

******


Petang itu, aku jumpa Manis agak agak kurang lebih pukul 4 dekat tepi pejabat pos. Agaknya. Aku dah lupa. Manis pakai baju gaun corak polka dot warna merah jambu macam anak patung Barbie sambil menyonyot gula-gula batang warna-warni. Tapi dia lebih manis aku rasa dari gula-gula itu. Eh kalau nak tahu, aku dah plan cantik-cantik petang itu nak bawa Manis makan air batu campur dekat rumah Yam sebab air batu campur rumah Yam boleh tambah susu cair lebih. 

Hai Manis, kata aku. Manis tersenyum sambil ternampak gigi rongak dua batang dekat depan. Walaupun Manis tak ada gigi depan, Manis tetap manis.

Awak, saya datang ini nak beritahu awak, saya tak dapat main kahwin-kahwin dengan awak petang ini. Maafkan saya iya awak? kata Manis selepas aku berkata hai tadi. Aku terdiam. Sampai hati Manis. Dia berlalu pergi menaiki basikal dengan gula gula mencair comot di bibir dia. 
Aku berjalan tunduk ke tanah menuju ke rumah.

Kalau boleh aku nak beri Manis hati aku ini dalam kotak yang luarnya ada tulisan 'FRAGILE' & 'HANDLE WITH CARE'.


******


Musnah harapan nak makan air batu campur rumah Yam.



*Aku dalam cerita di atas merujuk kepada sejenis makhluk lelaki yang bercita-cita untuk menjadi cikgu dan suka curi-curi makan choki choki dalam kelas Matematik.



 

KEPUNYAAN MUTLAK AMRLHLM 2010©. KOT.