Entah kenapa dia rasakan yang hari itu merupakan hari yang
paling malang dalam hidup dia. Dia ini merujuk kepada satu susuk tegap lelaki
yang tinggal di ibu kota yang sibuk serba serbi. Namanya Ali. Lingkungan awal
30-an. Bujang lagi. Tak kaya dan tak juga miskin. Sedang-sedang sahaja. Dia
baru sahaja dipecat oleh majikannya dengan alasan kerjanya tak berkualiti, dan
dia juga tak bermotivasi.
Kasihan Ali.
Dia berjalan menuju ke parkir kereta. Bayangkan sahaja kamu
di tempat Ali dalam keadaan sedih dan kecewa. Pilu dalam hati, tak siapa sudi
kongsi.
Dia menekan kunci keretanya.
Beep! Beep! Alarm daripada kereta perodua Myvi berwarna
hitam miliknya itu berbunyi. Itu sahajalah harta yang Ali punya dan terpaling
dia sayang.
Sedang dia mahu buka pintu keretanya, tiba-tiba datang dua
orang manusia bersaiz sasa besar lagaknya macam orang-orang bina badan
menghampiri Ali. Rupanya mereka itu tukang tarik kereta. Mereka bilang sudah lebih
tiga bulan kereta Ali tidak bayar. Maka tujuan mereka itu datang untuk tarik
kereta Ali. Ali yang seorang itu tak berdaya melawan kata-kata mereka apalagi
beradu tenaga. Ali serahkan kunci dengan berat hati. Ali berjanji untuk bayar
bila punya ongkos yang mencukupi.
Kasihan Ali.
Dia putuskan untuk berjalan kaki sendiri. Dengan beg pejabat
dibimbit rapi, menuju ke stesen elarti.
Entah kenapa dia benar rasakan yang hari itu merupakan hari
yang paling malang dalam hidup dia.
Dua puluh minit kemudian, dia tiba di stesen elarti Masjid
Jamek. Suram sahaja dia rasakan hari itu, mungkin banyak perkara buruk yang
berlaku. Dalam peluh-peluh itu, dia duduk sambil menunggu. Tunduk melangut. Dia
mula fikir tentang masa depannya yang kini dia ingat mula gelap gelita tak
punya harapan langsung. Kecewa benar kecewa. Dia kini tak punya apa harta.
Rumah pun menyewa. Ada kereta pun serupa tak ada. Nasib baiklah dia masih punya
sedikit simpanan di bank. Syukur dia masih punya lega dalam keadaan yang paling
serabut itu.
Balik kampung sahajalah. Kerja di kampung tak perlu fikir
bayar itu bayar ini. Fikir Ali begitu.
Tolol, apa dia fikir dia hidup dalam zaman Tanah Melayu baru
merdeka? Zaman sekarang semua perlu ongkos. Disebabkan oleh yang namanya
undang-undang, manusia sendiri yang gubal.
Dia benar rasa putus asa.
Kasihan Ali.
“Excuse me, ada orang tak?”
Tiba-tiba lamunan Ali hilang selepas terdengar suara wanita
menegurnya. Ali toleh, lalu terdiam. Dia terpandang satu jenis wanita yang
cantik, sumpah tak tipu. Berbaju kurung cotton bercorak bunga-bunga kecil,
rambut lurus panjang, bermata bulat-bulat dan berkulit putih gebu-gebu.
Apalagi? Oh ya, bayangkan sahaja wanita yang menegur Ali itu persis Sharifah
Amani tapi dalam versi rambut panjang. Boleh?
“Eh, duduklah. Tak ada orang pun.” jawab Ali sambil cuba
mengukir senyum yang sebaliknya tersembunyi sejuta kesedihan.
Lalu, wanita itu duduk disebelah Ali.
Sepi.
********
Nama dia Nisa. Itu nama pendek. Nama panjangnya Nurul Anisa
binti Haji Ahmad. Kawan-kawan di tempat kerja panggil dia Ann. Masa di sekolah,
ramai yang panggil dia Anis. Syed, budak jahat di kampung panggil dia Anisa
Montel sebab dulu dia gemuk-gemuk manja, walaupun sekarang dia kurus macam
model. Tapi sekarang, dia lebih gemar manusia di sekeliling memanggilnya dengan
nama Nisa. Comel mungkin. Entah, biasalah perempuan.
Hari itu, dia bangkit dari tidur seawal yang mungkin. Dia
merasakan yang hari itu merupakan hari yang paling indah buat dirinya. Selepas
bersiap-siap dalam keadaan yang paling jelita dia rasa, dia bergegas keluar
rumah untuk pergi ke tempat kerja. Sudah lama dia tunggu hari itu untuk dia
luahkan isi hatinya pada seseorang yang dah lama dia suka. Tapi tak pasti
kenapa baru hari itu dia punya keberanian untuk meluah isi hati pada orang yang
dia suka itu.
Tiga puluh minit kemudian, dia tiba di pejabat. Dalam keadaan yang paling jelita dia rasa, dia berjalan perlahan menuju ke meja yang
tertulis jawatan – setiausaha. Merujuk kamus dewan, setiausaha ialah orang yang
diambil bekerja untuk mengurus urusan surat-menyurat (dan etsetera-etsetera)
untuk seseorang individu.
Nisa duduk di kerusinya. Elok-elok.
Tak lama kemudian, dia tersenyum bahagia. Mungkin orang yang
dia suka itu ada depan mata. Berjalan penuh karisma dalam keadaan yang
serba-serbi kemas. Kacak. Bergaya. Tampak mewah.
“Good morning, Nisa”
Itulah perkataan awal yang setiap hari dia dengar dari
pemilik suara itu kecuali pada hari minggu. Kalau boleh mahu dia rekodkan
perkataan itu dan dia ulang-ulang sebanyak yang dia mahu setiap pagi kerana dia
rasakan perkataan itulah yang buat jiwa dia bunga-bunga. Rupanya, suara itu
milik majikannya, Encik Hafir. Nisa sukakan majikannya itu sendiri. Sungguh tak
sangka-sangka, besar impian wanita ini. Mahu bersuami manusia yang ada-ada. Dia
tak ukur baju di badannya kah?
“Morning, Encik Hafir.” balas Nisa tersenyum kesipu-sipuan.
Encik Hafir masuk ke dalam biliknya.
Nisa bergegas masuk ke pantri. Tak lama kemudian dia keluar
membawa secawan kopi dan masuk ke dalam bilik Encik Hafir, majikannya itu.
“Encik Hafir, ini kopi encik.”
“Thanks, Nisa. Hm Nisa, I want you to call Mr. Amir, I want
to see him right after this.” kata Encik Hafir dengan tegas.
Nisa mengangguk dan tersenyum lalu keluar dari bilik itu.
Dia panggil Amir suruh Amir masuk jumpa bos. Selepas itu dia duduk. Tersenyum
lagi. Tak habis-habis tersenyum. Biasalah perempuan.
Dia berbangga kerana dia rasakan dia seorang sahajalah
wanita yang sudah benar-benar kenal dengan hati budi Encik Hafir. Seorang yang
tegas, tapi punya hati yang lembut. Punya karisma yang tinggi yang ramai wanita
di luar sana idam-idamkan, tapi dia sahaja yang selalu bisa dekat dengan Encik
Hafir walaupun dalam keadaan yang formal sentiasa, dalam lingkungan dua tahun
dia bekerja di syarikat itu.
Dia sudah rancang cantik-cantik, yang hari itu dia mahu luah
isi hatinya pada Encik Hafir. Dan dia juga telah bersedia menerima apa sahaja
kemungkinan. Dia sudah berjanji untuk buang egonya jauh-jauh. Dengan
keberanian yang dia ada, tak lama kemudian dia bawa satu bungkusan kecil di
tangannya. Bangun dan berjalan menuju ke bilik Encik Hafir dalam keadaan yang
dia rasakan terpaling jelita.
Tiba-tiba datang seorang wanita. Seksi. Menggeletis
keadaannya.
“Hi, boleh I jumpa dengan Mr. Hafir I tak?”
“Awak siapa? Ada buat appointment ke?” balas Nisa dalam
keadaan terkejut. Bungkusan kecil itu cepat-cepat dia sembunyikan di belakang
tangannya.
“You tanya I siapa? You tak kenal I ke?! I lah tunang Mr.
Hafir, bos you!” kata wanita itu dalam keadaan yang marah dan angkuh. Sedikit
gedik. Geram mungkin.
Riak muka Nisa berubah. Tak tahu pula dia majikannya itu
sudah punya tunang. Dia berasa sedih. Hatinya bagai dipijak-pijak. Maruahnya
seperti dicalar-calar.
Encik Hafir yang terdengar bunyi bising di luar biliknya
bergegas keluar.
“Sayang, you tengok perempuan ni, dia tak kasi I jumpa you.”
Ujar wanita itu selepas Encik Hafir keluar dari biliknya lantas dia memeluk
Encik Hafir.
“Sorry, Nisa. She’s my fiancée. Dia ni memang macam ni.”
Kata Encik Hafir kepada Nisa sambil tersengih geram memandang tunangnya itu.
Tak lama kemudian mereka berdua masuk ke dalam bilik.
Nisa tak dapat terima realiti itu. Dia benar sedih.
Hari itu, dia putuskan untuk meminta kebenaran pulang lebih awal
kerana dia ada kecemasan. Tapi itu semua alasan. Dia sebenarnya tak punya
kekuatan untuk berjumpa dengan majikannya itu. Dia malu. Tersangat malu. Dia
berjalan sendiri menuju ke stesen elarti. Airmatanya tunggu masa untuk jatuh.
Tapi dia cuba tahan takut manusia disekeliling memandangnya pelik jika dia
menangis sendiri.
Sepuluh minit berjalan, dia tiba di stesen elarti terdekat.
Dalam ramai-ramai manusia di situ, dia merasakan dia sahaja yang seperti hilang
arah tuju. Dia tak punya siapa untuk berkongsi masalah. Dia betul-betul
sendiri.
“Excuse me, ada orang tak?” Tanya dia kepada satu susuk
tubuh lelaki yang duduk sendiri di satu kawasan yang tak berapa ramai manusia.
Dia mahu sedikit ruang untuk hibernasi jiwa.
“Eh, duduklah. Tak ada orang pun.” Jawab lelaki itu sambil
tersenyum.
Nisa duduk perlahan.
Sepi.
********
Sepi itu terus menguasai ruang-ruang masa antara Ali dan
Nisa.
Seminit.
Dua minit.
Tiga minit.
Ali masih tak punya keberanian untuk menegur Nisa. Nisa masih
juga berdiam sedih. Sambil mula mengelap titis-titis airmata yang jatuh tak tertahan
lagi.
Ali kaget.
Dia mahu cuba untuk tenangkan Nisa. Dia berikan tuala kecil
miliknya itu kepada Nisa yang menangis perlahan yang tak lama kemudian semakin kuat esak tangisnya.
“Awak okay” tanya Ali dan seraya itu Nisa memeluk Ali.
Lagilah Ali bertambah kaget. Orang sekeliling mereka memandang Ali dalam keadaan
yang terpaling aneh. Ali benar kaget seolah dia melakukan sesuatu yang jahat.
Sejahat-jahat iblis.
Ali terus cuba tenangkan Nisa. Dia mengusap bahu Nisa perlahan dan
lembut.
“Awak janganlah macam ni, orang pandang kita lah.”
Nisa segera sedar yang dia sedang berada dalam rangkulan
seorang stranger. Segera jugalah dia
mengesat tangisannya itu dengan tuala kecil milik Ali. Matanya merah dan masih berair. Pilu.
“Maafkan I, I tak sengaja” ujar Nisa tersekat-sekat.
“Nasib baik I ni orang baik-baik. Kalau you peluk orang
jahat macamana?” Ali cuba memecah suasana pelik itu dengan sedikit humor yang
dia ada. Tak pasti sama ada hambar atau tidak. Kalian sahaja yang tentukan.
Nisa terketawa malu. Kali ini ketawanya manis sekali. Cair
Ali jadinya.
“You okay ke tak ni?” tanya Ali.
“Okay” jawab Nisa.
Tak lama kemudian dia sambung, “Sebenarnya tak okay” sambil
menunduk. Keadaan kembali dalam mood sedih.
“Kalau you tak kisah, you kongsilah masalah you dengan I. Maybe boleh kurang sikit sedih you tu.” Ali balas.
Keadaan sepi seketika. Bayangkan ketika itu, Ali hanya memandang
Nisa dengan penuh harap. Nisa pula masih tertunduk sayu.
Ali masih berharap Nisa membalas pertanyaannya tadi. Dan
tiba-tiba, Nisa bersuara.
“Sebenarnya, I baru lepas kena reject dengan orang yang I
suka.” Katanya lantas menangis lagi. Airmatanya jatuh tak tertahan. Ali sudah
agak perkara itu, kalau tak sedih sebab kerja mesti sebab lelaki. Biasalah
perempuan.
“Sebenarnya, I pulak baru lepas kena pecat. Kereta I baru
lepas kena tarik.” Ujar Ali. Entah kenapa tiba-tiba dia luahkan segala dukanya
itu pada Nisa.
Nisa yang menangis itu terberhenti menangis mendengar kata
Ali. Dia berasa serba-salah kerana dia asyik fikir sedihnya sahaja tanpa fikir
masalah orang sekeliling.
Keadaan senyap seketika. Kedua-dua mereka tunduk.
Masing-masing dengan sedih masing-masing.
“You okay?” tanya Nisa pula sambil memandang Ali.
Mereka saling berpandangan.
“Entahlah tadi tak okay. Tapi lepas I jumpa you, I rasa lega sikit.”
“Eh, kenapa pula?”
“Sebab I ada someone untuk I kongsi sedih I. Terima
kasih” ujar Ali tersenyum (kali ini tanpa mencuba) sambil memandang Nisa.
Nisa turut tersenyum walaupun matanya merah dan masih
berair.
“You pun, terima kasih.” balas Nisa memandang Ali. Manis
sekali.
Dalam keadaan yang sedih dan pilu itu mereka berdua
berkongsi cerita duka.
Hari itu, mungkin hari yang terpaling sedih bagi Ali dan
Nisa. Tapi mungkin hari itu juga hari yang indah untuk dikenangkan buat mereka
berdua.
Benar, Tuhan itu sudah atur siap-siap setiap perkara untuk setiap
makhluk ciptaan-Nya. Berhikmah. Setiap duka yang datang, pasti tersembunyi
sedikit tawa.
Cinta itu terkadang datang tanpa kamu undang, tapi kalau
memang dua jiwa itu Tuhan ciptakan untuk bersama, bahagia itu pasti ada.
Sampai syurga.




No comments:
Post a Comment