Kopi.


Lima petang.

Seperti hari Isnin yang lepas-lepas tepat pukul lima petang, Nizam akan lekas-lekas mengemas segala dokumen kerjanya untuk pulang ke rumah. Dia mahu segera rehatkan mindanya yang berkecamuk dengan bebanan kerja. Ternyata, Isnin bukanlah hari yang Nizam gemarkan. Hari yang hektik. Mengarut, baginya.

Entah kenapa mesti wujud hari Isnin dalam kalendar dia pun tak mengerti. Kalau boleh setiap hari Nizam mahukan hari Ahad walaupun perkara itu perkara yang paling mustahil sekali dalam dunia.

Selepas segala dokumen kira-kira dimasukkan ke dalam beg, Nizam bergegas berjalan keluar. Dia tersenyum tawar memandang rakan sekerjanya yang lain sebagai tanda dia mahu pulang ke rumah. Oh ya sebelum terlupa, Nizam sebenarnya bekerja sebagai seorang pegawai bank di ibukota. Selama dia bekerja di situ, Nizam boleh dikatakan sebagai seorang pekerja yang paling suka berahsia dan pendiam dalam kalangan rakan sejawat. Dalam pejabat pun suka menyendiri. Orang fikir dia anti-sosial dan pasif. Tapi sebenarnya tidak, Nizam cuma depresi dengan kehidupan dia sendiri. Dan dia juga seorang pemuda yang pemalu.

Kehidupan sebagai seorang pemuda bernama Nizam tidaklah sebagus yang kalian semua sangka. Hidupnya terus-terusan menyendiri. Walau punya kerjaya yang bagus dan punya rupa tapi dia tetap sahaja begitu. Pendiam sejak dahulu. Mungkin dia punya masalah di masa silamnya. Masih belum punya kepastian.

Dia pandu keretanya pulang. Perlahan menyusuri jalan. Suasana yang sesak dalam perjalanan pulang dipecahkan dengan bait-bait lagu Skinny Love dalam ruang keretanya. Dan sebatang rokok turut dinyalakan—tenang.

Tiba-tiba matanya tertumpu pada satu papan tanda kedai di tepi jalan-Kedai Kopi Mary.

Mungkin kafe barangkali, bisik hati Nizam yang sememangnya tahu secara terang-terangan terdapat perkataan ‘kopi’ di situ. Lantas dengan segera dia pusing stereng kereta lalu menuju ke kafe tersebut.

****

Enam petang.

Secawan kopi dipesan.

Lalu dia duduk di bangku luar Kedai Kopi Mary. Keadaan disitu agak selesa dari berada di dalam kereta menempuh trafik yang menggila. Lewat petang yang redup itu, dia nikmati sendiri. Kopi yang dipesan segera tiba. Dia hirup perlahan—lega. Dia rasakan yang kopi punya kuasa magis tersendiri yang bisa menenangkan sesiapa sahaja, tapi jikalau diambil secara berlebih, boleh ketagih.

Fikirannya terus menerawang.
Tak lama kemudian, secara tiba-tiba, pandangannya tertumpu pada satu susuk gadis yang fikirnya baru sahaja pulang dari kerja dan secara tiba-tiba singgah ke kedai itu, seperti dirinya juga. Gadis itu kelihatan jelita dan bergaya. Dia punya naluri yang kuat mengatakan yang gadis itu gadis yang sombong dan angkuh. Dan punya ego yang tinggi setinggi angkasa.

Mudah benar Nizam membuat kesimpulan. Paranoid mungkin.

Gadis yang Nizam perhatikan tadi memesan sesuatu di kaunter dan tak lama kemudian dia duduk di sebelah meja Nizam. Keadaan kembali tenang seperti tadi. Nizam keluarkan telefon bimbit di poket seluar. Dia klik pada ikon burung biru. Dan aplikasi Twitter terbuka. Perlahan dia skrol skrin telefon bimbitnya.

Chempaka followed you.

Oh, ada follower baru rupanya, bisik Nizam dalam hati sambil tersenyum.

Nizam yang suka bersendiri itu lebih gemar meluahkan segala apa yang dia simpan dan dia rasa di akaun Twitternya. Dia merasakan perkara itu lebih selesa dan buat dia lebih ‘hidup’. Tambahan pula dia tidak menggunakan nama sendiri sebaliknya menggunakan nama Pria sebagai ganti nama diri. Mungkin ada benar dia kurang rasa berani dan yakin dengan dirinya itu. Tapi realitinya, Nizam memang begitu.

Dia baca satu-satu, setiap baris aksara, setiap patah kata yang di-post oleh Chempaka, follower barunya itu tadi. Dan tiba-tiba, matanya terhenti pada satu tweet yang dia rasakan amat menarik;

“Drink a cup of coffee here at Kedai Kopi Mary. Sitting next to a stranger - a man with a cute face.”

Nizam seolah-olah dapat merasakan bahawa gadis yang dia rasakan sombong dan angkuh yang duduk disebelahnya itu adalah Chempaka. Perasan betul Nizam. Mana dia tahu dia cute pun aku tak pasti?

Nizam retweet.
Dan kemudian dia balas;

“Maybe a simple hello to him could lead to a thousand things.”

Dia taip dan dia tweet.
Kemudian dia tunggu. Menunggu telefon bimbitnya itu berbunyi untuk notifikasi seterusnya.

Ping! Ping!, telefon bimbit Nizam bergetar.

Nizam ambil telefon bimbitnya dan dia ketawa perlahan. Ternyata Chempaka membalas tweet yang Nizam hantar tadi. Chempaka tulis begini;

“I shy hehe. Dia macam moody semacam and he looks serious. But he’s cute definitely haha.”

Nizam mula merasakan gadis disebelahnya itu comel walaupun diri dia sendiri tak pasti apa benar atau tidak gadis itu ialah pemilik akaun bernama--Chempaka.

Nizam perhati secara sembunyi-sembunyi setiap gerak-geri gadis disebelahnya yang dia sangkakan Chempaka itu. Gadis itu tersenyum memandang telefon di tangan. Naluri pemuda itu semakin kuat mengatakan yang gadis itu memang Chempaka, follower baru akaun twitternya!

Nizam sedar yang perkara ini mungkin kebetulan. Atau mungkin suratan Tuhan.  Jadi, dia harus lakukan sesuatu sebelum terlambat. Perkara seperti ini jarang-jarang berlaku dalam hidup manusia. Dan dia perlu bertindak pantas!

Begitulah yang Nizam fikir dalam benak pemikiran. Nizam mula galau. Kerana dia sedar yang dia itu pemalu. Tapi dia harus buang rasa malu yang menebal itu jauh-jauh untuk beberapa ketika, tak lama.

****

Tujuh malam.

Nizam masih duduk di situ. Dalam keadaan diam dan kaku. Setelah berjela-jela berbalas tweet dengan Chempaka, dia yakin benar yang gadis disebelahnya itu, yang pada awalnya dia sangkakan sombong dan angkuh, dan tak lama kemudian dia fikirkan gadis itu comel, benar-benar Chempaka. Follower baru di Twitternya. Pasti. Muktamad.

Namun sayangnya dia masih belum punya berani untuk menegur. Dia secara sembunyi-sembunyi terus mencuri pandang gadis itu.

Tiba-tiba, gadis itu berdiri dan berjalan menuju ke kaunter. Rasa kecewa mula menguasai hati Nizam. Kecewa dengan diri sendiri kerana tak punya rasa berani.

Sebelum sempat menegur, gadis itu berlalu pergi. Nizam terus menangis dalam hati meratapi kepergian gadis itu sehingga hilang menjadi satu titik di matanya—noktah.

Hari itu Nizam rasakan gelap secara mendadak. Dia berdiri pergi ke kaunter pembayaran dengan hati yang pilu.

How much?, tanya Nizam dalam nada yang separuh sedih tapi masih mengekalkan ciri-ciri maskulin.

Ten ringgit, sir. Jawab pekerja kafe (Adil).

Nizam mengeluarkan not sepuluh ringgit Malaysia dan dia berikan kepada pekerja kafe (Adil) itu. Dan dia berjalan perlahan keluar dari Kedai Kopi Mary.

Telefon bimbit Nizam berbunyi.
Oh, rupanya ada notifikasi.
Nizam buka, dan dia baca.

 “Nice to meet you, Pria. Saya tahu, kita masing-masing malu. Harap dapat jumpa lagi esok ;) - Chempaka”

Nizam tersenyum. Kali ini, senyum dia lebih bermakna dari sebelumnya. Dia jerit terima kasih kepada pekerja kafe (Adil) dan dia juga turut bilang jumpa lagi esok! dari pintu Kedai Kopi Mary. Semua pengunjung Kedai Kopi Mary memandang Nizam dalam keadaan hairan. 
Tapi Nizam peduli apa, dia tengah bahagia.


Dan hari Isnin itu, seorang pemuda yang bernama Nizam pulang dengan hati yang berbunga-bunga. Dengan jiwa penuh rasa cinta, buat kali pertama.



1 comment:

Anonymous said...

Aloh2.sweetnye <3

 

KEPUNYAAN MUTLAK AMRLHLM 2010©. KOT.