Orked.


Petang yang penuh melankolik itu, Orked berdandan indah serba-serbi. Dengar cerita, dia sudah berjanji, dengan Adi, seorang pemuda dari Kampung Bota Kiri, jam empat setengah petang di tepi sawah milik Pak Deli. Sengaja Orked mahu bertemu Adi di situ kerana Adi memang bekerja di bendang tiap-tiap hari. Sebenarnya kalau nak tahu, hari-hari pun Orked memang tak lupa untuk berjumpa dengan lelaki yang dia suka itu di tempat yang sama, sejak dua tahun kebelakangan ini.

Dia bersiap awal-awal. 
Dengan kurung kapas putih bercorak bunga-bunga kecil itu, dia capai basikal. 
Mangkuk tingkat diletak dalam bakul depan berisi bekal, dan dia mula memijak pedal.

Perlahan dia kayuh dengan senyuman di bibir yang tak lepas-lepas. 
Rambutnya yang panjang lurus itu beralun mengikut angin yang tak kuat dan tak juga deras.

Orked kelihatan indah dalam redup petang itu.

Tak lama kemudian, dia tiba di tepi sawah, dia menongkat basikal di tepi jalan kampung. 
Anak matanya mengecil mencari-cari sesuatu dalam hijau bendang yang luas terbentang. 
Mencari susuk tubuh manusia yang dia cinta. Yang dia suka, lagi dia puja.

Mana pula Adi ni?, bisik Orked dalam hati.

Dia duduk di pondok kecil tepi sawah menunggu Adi. Dia pasti Adi datang sekejap sahaja lagi.

Angin yang berpuput lembut lewat petang itu, Orked nikmati puas-puas. 
Matanya dipejam rapat-rapat.
Segala perkara Orked rasakan manis-manis belaka.
Semanis rasa cinta dan rindu yang ada dalam jiwa gadis kecil itu.
Satu-satu kenangan antara dia dan Adi, bermain dalam kotak memori.

“Orked..”

(JEDA)

Orked terdengar suara pemuda berbisik dalam telinganya tiba-tiba. Seraya itu dia buka mata;
Dia cari.
Dia cari.
Dia kenal suara itu milik Adi.
Tapi yang ada hanyalah diri dia sendiri.

“Mana Adi” kata Orked dalam hati.

Airmata Orked jatuh perlahan di pipi.
Mengalir lesu. Selesu cahaya matahari lewat petang sepi.
Di pondok kecil itu, sendiri dia meratapi rasa sedih dan rasa pilu dalam hati.

Untuk dua tahun ini, Orked tak pernah penat untuk melupakan Adi.
Walaupun kini dia sedar yang Adi tak ada lagi dalam realiti.

Dia berdiri dalam kelemahan dan berjalan pulang dalam kesedihan.

“Esok Orked datang lagi”

Juta-juta memori antara Orked dan Adi kekal tersimpan di Pondok kayu sebelah sawah itu sampai bila-bila. Orked tahu selagi dia mampu setia, Adi pasti 'ada' tiap hari tiap mimpi.

Sampai mati.



No comments:

 

KEPUNYAAN MUTLAK AMRLHLM 2010©. KOT.