Dia dulu pernah ada satu kawan. Yang mana kawan dia itu waktu kecil-kecil selalu bersama waktu susah waktu senang. Kadang-kadang, adalah bergaduh juga sedikit-sedikit. Tapi tak lama, sebab dia fikir kawan dia itu sejenis kawan yang memang boleh dia percaya sampai mati. Bayangkan saja nama kawan dia itu Farid (bukan nama sebenar).
Rumah Farid dengan rumah dia ini dekat dekat. Rumah Farid belakang rumah dia. Rumah dia depan rumah Farid. Jadi, setiap hari dia dengan Farid pasti akan berjumpa. Malah ke sekolah pun selalu sama-sama. Dia paling gemar bermain perang-perang dengan Farid. Farid juga gemar bermain tanah dan lumpur dengan dia. Setiap hari ada saja yang dimainkan.
Paling dia tak lupa, bila balik dari sekolah waktu petang, dia dengan Farid pasti bermain askar-askar. Dia jadi askar atas-atas, Farid jadi askar bawah-bawah. Mereka akan panjat rumah-rumah kosong tepi kedai Kak Ida, lalu semak-semak, lalu longkang-longkang tepi jalan besar, merangkak-rangkak dekat pasir rumah Cik Saad dan eksetra-eksetra. Perkara itu berlaku selama empat tahun kurang lebih. Dia faham benar Farid bagaimana dan begitu jugalah sebaliknya.
Satu hari, entah macamana Farid mahu pindah. Maka, dia itu sedih benar. Dia tahu untuk esok dan hari-hari yang mendatang, dia sudah tidak ada kawan baik lagi. Dia tidak boleh jadi askar atas-atas lagi. Dia tidak boleh bermain tanah dan lumpur lagi. Walau dia tahu Farid pindah di mana, tapi dia tak pernah berjumpa Farid sejak itu. Farid pun tak pernah kirim khabar berita. Masa itu tidak ada facebook. Tidak ada Twitter. Myspace pun belum wujud lagi. Belum. Kalau ada pun masa itu, dia pun berharap benda benda itu semua jangan pernah wujud. Entah mungkin ini benda biasa bagi semua orang, tapi bila bercakap pasal kawan waktu kecil-kecil itu yang paling susah untuk semua orang hendak lupa bukan? Mungkin masa kecil semua orang betul-betul suci bersih dari sifat dengki dan khianat dengan kawan-kawan sendiri. Dan masa kecil, kita semua masih bersih hati dari ideologi yang entah apa-apa.
Iya, itulah.
Walau hilang jauh dari mata, dalam kenangan itu, 'kita' tetap hidup sampai bila-bila.




No comments:
Post a Comment