tiada deskripsi #49

kawan kecil aku
dulu aku ingat lagi
tentang segala;
yang dalamnya hanya ada aku; kamu 

kadang-kadang ada yang lain sekali.

main kita
bual kita
aku tak lupa
hal-hal yang tak pernah kita terfikirkan
indah ternyata indah

mata kalau bisa terakamkan
aku mahu simpan kenangan
biar nanti aku bisa lihatkan
waktu nanti-nanti
yang kemudiannya aku bisa tersenyum
dan kemudian bisa mimpi lagi
untuk terus muda
dan terus ada untuk 'kita' yang dulu

ya kerna aku rindu menjadi kecil semula
yang bisa lari kemanapun
dan terus ketawa tanpa gundah 
tanpa ada bimbang
yang ada hanya cinta

--kerna kadang-kadang aku takut jadi dewasa


tiada deskripsi #48

waktu susah itu
seingat aku;

engkau ada sama
harung liku-liku

bila aku buntu
engkau ada bantu

bila aku susah
kita kongsi gundah

terima kasihlah
aku tak pernah cuba lupa
sampai kapan pun masa

bila-bila.

*buat yang ada masa susah aku masa senang aku


tiada deskripsi #47


Bulan kesepuluh ini.

Masih lagi aku.
Sepi sendiri kaku.
Dalam ruang-ruang kesedihan.
Bernafas aku dalam kebohongan.
Pelan jiwa disakit.
Digores aku diperit.

Terus lagi aku.
Terbuang dalam koloni bisu.
Apa aku bisa berdiri.
Atau aku harus berlari.
Tersesak sendiri diasak.
Terganggu sendiri dibelenggu.

Kalau benar ini.
Satu hal yang merubah.
Makanya harus gagah.
Jiwa terus menabah.


Dua bayang


kita saling dekat
tapi kita saling membisu

kita saling rapat
tapi kita tak mungkin menyatu

kita saling membontoti
tapi tak bisa datang pergi ikut hati

kita saling suka
tapi kita tetap menjauh

kerna aku tak bisa dekat kamu ikut aku
kamu juga tak bisa dekat aku ikut kamu

kita seperti terhina
dilahir menjadi bayang
hitam tak berupa
hilang dalam terang

terpisah dalam dua jasad beda


tiada deskripsi #46


dulu kita slalu ada masa
bicara kita tentang hal-hal yang tak pasti
mengayuh kita pun terbang tinggi
tak, kita tak berlari
kerana berlari itu terlalu pantas
‘tuk kita belajar menghargai
‘tuk kita mengerti
‘tuk kita fahami
tiap satu antara kita
sebab itu kadang kita hanya berjalan
perlahan, tapi bukan berhenti.

kita yang dulu slalu ada
tiap masa tiap tika
tiap tangis tiap tawa
semua itu jadi guru
yang mengajar kita tuk sering menyatu
antara tiap satu

entah kapan aku sendiri tak pasti
apa kita bisa bersama lagi
bersama mengumpul memori
berjalan atas pelangi
terbang atas langit tinggi

kita yang dulu itu seakan hilang
semakin menjauh dari realiti
berpisah itu aku benci

untuk kalian yang jauh
melodi sepi terus menyanyi
berkumandang liar bebas
dalam ruang kecil bernama hati


(untuk kawan-kawan yang jauh)

Apa layak digelar pelangi lagi?


pelangi yang tujuh warna itu,
dulu pernah kamu kaitkan
tiap satu jalur warna kamu beri indah
dan kamu beri makna
‘tuk kita nikmat bersama berdua

pelangi yang tujuh warna itu,
jambatan tuk kita ke langit
tangan kita berpegangan
tari kita berteman bulan
canda cinta tak pernah sendirian

tapi kini,
pelangi yang tujuh warna itu
perlahan menghitam
segala warna berselerak
tiap satunya bertabrak
gelap memberontak

bila;
kamu pergi,
dan tak pernah kembali lagi.
untuk terus ada;
tiap suka aku. tiap duka aku.

aku rasa sepi.
aku rasa sendiri.

biar;
pelangi hitam jadi saksi.

tiada deskripsi #45

i

si tolol itu bilang 

semuanya manis belaka tapi ternyata pahit segala terbunuh aku dalam pekat warna dan mati dalam likat rasa


ii


tersesat dalam likat terbunuh dalam pekat lalu; mati dalam kepahitan diracun -- kemanisan.



iii


Jatuh dalam pekat malam 

berteman secangkir kopi hitam kenangan silam itu benar kelam dalam hirupan terakhir;
aku harap biar padam.


iv


Terbunuh aku; oleh peluru sang celaka.

tak beri bebas tak beri lepas --hitam tak slalu pendosa.


v

Kepahitan itu aku telan

walau realitinya kelat.

Sepahit semua kenangan

dalam setiap hirupan pekat.

aku mohon kamu pergi.




Mimpi.



Hari itu, Ali mati. Dia tahu yang dia sudah mati selepas dia bangun dari tidur dan dia lihat badannya terbaring kaku. Seingat dia malam semalam dia tak ambil sebarang pil yang boleh membahayakan nyawanya. Apatah lagi memakan racun. Tak, Ali tak pernah cuba sekali-kali membunuh diri tapi bila dia sedar, lihat-lihat dia sudah mati.

Mula-mula dia cuak. Dia merenung badannya sendiri yang terbaring di atas sofa di depan tivi dengan pakaian kerjanya itu untuk sepuluh minit, dan kemudian dia reda. Dia mengerti yang dia sudah mati. Menunggu masa Izrail ambil dia pergi.

Dia kesat airmatanya yang jatuh sedikit di pipi.

Setelah dia berdoa agar ruhnya itu dicucuri rahmat oleh Tuhan, dia berjalan keluar dari rumahnya perlahan. Dia berjalan dalam keadaan yang tak punya hala tuju. Dia harap-harap Izrail datang cepat-cepat ambil dia pergi dari dunia. Dia tak mahu dan dia tak sanggup berada dalam keadaan sedih yang terlampau lama.

Tak lama kemudian dalam perjalanan, dia singgah di kedai serbaneka sebentar sebab dia haus. Dia ambil air Red Bull kurang gula sebab dia tak berapa suka manis. Ali berasa gembira kerana dia tidak perlu bayar disebabkan dia sekarang sudah mati dan orang tidak dapat melihat ruhnya. Dia keluar dari kedai dengan perasaan sedikit bahagia. Sedikit. Dia terus berjalan dan kali ini dia mahu singgah di taman permainan yang berhampiran sementara menunggu Izrail. Dia sudah berasa tak selesa dengan pakaian kerjanya yang masih tak bertukar dari semalam. Sebab semalam lepas balik kerja, dia terus tidur kerana dia berasa letih yang amat. Kerja gomen tak pernah tak buat dia penat. Hari-hari penat. Badan penat, otak pun penat. Gila.

“Baguslah juga aku mati. Hidup pun bukan ada siapa-siapa. Kerja pun sebab terpaksa”

Jiwa dia rasa kosong.
Mungkin sebab orang yang dah mati tak boleh rasa apa-apa lagi, fikir Ali begitu. Jadi dia terus menunggu dan menunggu. Dia duduk di buaian taman permainan yang lengang itu. Pelik, dia rasakan bilamana dia melihat keadaan disitu tak ada siapa-siapa. Pelbagai persoalan dia fikir. Semua bagi Ali sukar untuk dia rungkai tiap-tiap satunya. Rumitnya hanya Tuhan yang tahu.

Buaian dihayun lembut. Matanya dipejam rapat. Menikmati setiap sisa hembusan nafas di dunia ini untuk kali terakhir. Dia tak tahu sama ada dia harus bersedih atau bergembira dengan kematian dirinya itu. Dia sedih untuk tinggalkan segala kenikmatan yang ada di dunia dan dalam pada masa yang sama, dia rasa gembira dan lega bilamana dia dapat lepaskan diri dari segala keperitan dan beban yang ditanggung. Dia rasakan selama dia hidup di dunia dia seperti dipaksa melakukan segala kerja. Dia fikir manusia zaman sekarang bertuhankan pemodenan. Segala benda dinilai dengan mata wang sehinggakan nilai kemanusiaan itu terkadang diabai oleh manusia bersifat kapitalis. Yang kaya terus mengangkuh, yang miskin terus ditindas. Dicaci. Dimaki.
Dia bukanlah benci sangat pun dengan dunia sebenarnya, cuma dia geram dengan manusia-manusia yang dibutakan dengan keduniaan. Lapar dengan harta benda. Haus dengan hawa nafsu.


(JEDA)


     “Seorang je ke?”

Lamunan Ali terhenti. Dia lihat ada seorang gadis disebelahnya. Dia berasa pelik bila gadis itu dapat melihat dirinya dan berani untuk menegurnya yang sudah mati.

Izrail perempuankah? Cantik benar Izrail, fikir Ali.

     “Ya, aku seorang. Kau Izrail kah?”, Ali bertanya.

     “Aku bukan Izrail. Aku Yasmin. Kau siapa? Kau Izrail? Siapa Izrail? Sahabatmu?”

     “Aku juga bukan Izrail. Aku Ali. Ahmad Ali bin Haji Ahmad Ismail. Bapaku dulu imam di kampung. Tapi dia sudah lama meninggal”, balas Ali panjang.

     “Aku tak mahu tahu pun siapa ayahmu..”

Jawab gadis itu lalu dia duduk di buaian sebelah.

     “Kau buat apa disini?” Dia tanya soalan kepada Ali.

Ali jawab dia mahu bermain buaian. Dan Ali tanya soalan yang sama kepada gadis itu. Dan gadis itu menjawab yang dia juga mahu bermain buaian.

Perasaan Ali berasa sedikit terganggu dengan kehadiran gadis misteri itu. Dia mahukan kepastian.

     “Yasmin, kau sudah mati?” tanya Ali sambil memandang Yasmin dengan penuh harapan.

Yasmin diam.
Ali mula rasakan yang Yasmin itu psychopath. Gila. Sombong. Apalagi?

Tiba-tiba Yasmin menangis perlahan. 
Ali keliru. Ali rasakan itu cuma taktik Yasmin untuk menagih rasa belas kasihan darinya. Ali biarkan. Tapi tak lama kemudian dia rasa serba salah sebab dia rasa dia yang pentingkan diri sendiri sebab membiarkan seorang perempuan menangis. 
Bukankah perempuan itu kaum yang lemah?

Lalu, Ali ambil keputusan untuk tenangkan Yasmin.

     “Kau janganlah menangis. Aku tanya je tadi. Janganlah ambil serius.” kata Ali perlahan. Tak tahu pula dia Yasmin begitu sensitif dengan hal-hal berkaitan mati.

     “Sebenarnya aku pun tak mengerti mengapa aku disini Ali. Apa aku sudah mati? Kalau benar aku mati, kenapa aku masih di sini? Kenapa aku tak diambil oleh Tuhan terus? Apa ruhku tak diterima Tuhan? Apa aku ini hantu?” jawab Yasmin teresak-esak. Dia kelihatan begitu serius. Dia juga keliru seperti Ali.

     “Usahlah kau berkata begitu Yasmin. Aku juga tak punya kepastian. Aku sendiri keliru sekarang ni. Aku fikir kamu malaikat mahu mengambil aku pergi dari sini, tapi bukan Yasmin, bukan. Aku  sendiri lagilah tak pasti”

Mereka kembali berdiam untuk beberapa ketika. Keadaan kembali tenang. Yasmin kesat airmatanya yang jatuh. Dia tahu dia harus terima kenyataan yang mungkin betul dia sudah mati. Dia pandang Ali.

Ali masih tunduk. Keliru.

     “Ali, nama I, Nur Yasmin binti Muhamad Azran” dia hulurkan tangan kepada Ali. Bibirnya mengukir sedikit senyum walaupun matanya sedikit kemerahan dan berair.

Lalu Ali sambut tangan Yasmin. 
Ali juga tak faham dengan kondisi jiwa Yasmin yang berubah secara mendadak. Dia fikir makhluk bernama perempuan ini memang makhluk yang susah dijangka. Sentiasa punya musim yang berbeda. Dia juga tak sangka yang gadis bernama Yasmin itu yang pada awalnya tadi bersikap sombong sekarang lebih mesra daripada biasa. 

Comel, fikir Ali.

     “I rasa, kita patut habiskan sisa-sisa masa yang ada sekarang ni dengan perkara-perkara yang menarik.” kata Yasmin kepada Ali. Teruja.

     “Like what? Kita still ada masa ke?”

     “Sekarang inilah Ali. You ni, kita kenalah appreciate baki masa yang ada sekarang ni juga. Jomlah ikut I!” dia tarik tangan Ali dan kemudian mereka berdua melayang tinggi ke udara. 

Ali tak sangka diri dia boleh terbang. 

Mereka terbang tinggi sehingga bangunan-bangunan kelihatan kecil seperti permainan. Hutan-hutan kelihatan seperti sayur brokoli. Semuanya dalam keadaan kecil-kecil belaka. KLCC yang tinggi itupun kini dia boleh pijak-pijak. Keterujaan jelas terpancar di wajah kedua-dua ruh itu. Bebas. 

     “Yasmin, awak mahu bawa saya kemana?”

     “Follow je I, nanti you tahu! Sekejap lagi kita sampai lah.” Yasmin ketawa manja.

Ali reda. Dia ikutkan sahaja kehendak Yasmin. Lagipun dia seronok ada seseorang untuk menemani dia sebentar sementara menunggu Izrail datang mengambil dia pergi dari dunia yang kekal itu.

     “Eh itu bukan ke Taj Mahal, Yasmin?” Ali tanya Yasmin sambil menunjuk sesuatu yang kecil di bawahnya tak lama kemudian. Yasmin mengangguk kepala memandang kebawah mereka. Ali terkesima. Dia semakin bahagia dengan kematiannya. Mereka terbang melepasi banyak negara. Macam dalam dunia fantasi. 

Dua puluh minit kemudian, Ali dan Yasmin tiba di hadapan sebuah monumen terkenal, Eiffel Tower.

     “I dah lama nak pergi sini, Ali!” jerit Yasmin. Ali tersenyum.

Ali rasakan ramai sahaja manusia yang mahukan percutian ke Eropah lagi-lagi di Perancis. Bercinta dan bermadu kasih di tempat yang indah dalam suasana yang romantis. Dia lihat Yasmin yang begitu teruja kerana impiannya sudah terlaksana menjejakkan kaki di hadapan Eiffel Tower walaupun hanya sebagai ruh dan bukan sebagai manusia. Yasmin berlari-lari di taman, Ali duduk memerhatikan Yasmin. Dia ketawa kecil.

     “Thanks Ali sebab sudi temankan I. Dari kecil I nak datang sini but tak ada peluang masa I hidup dulu haha.”

Ali yang mendengar kata-kata Yasmin sedikit sayu.

     “Mungkin betul kita dah mati. But, you still dapat peluang to achieve what you dream kan Yasmin. And you still have me apa?” kata Ali lagi spontan.

Yasmin pandang wajah Ali dan Yasmin tersenyum manis.

Mereka menikmati masa mereka di taman berdua bertemankan kerdipan lampu Eiffel malam itu. Entah beberapa jam dari sekarang mereka akan dijemput Izrail. Dan dibawa ke langit paling atas? Mungkin. Mereka sendiri belum punya kepastian.

Sedang enak mereka berbual mesra, tiba-tiba datang seorang lelaki berbadan besar kepada mereka. Yasmin dan Ali kaget. Lelaki itu cuba menarik tangan Yasmin. Ali menghalang.

Dush! Satu tumbukan dahsyat singgah ke muka Ali. 
Ali terjatuh. 
Dia tak berdaya. 
Ali rasakan selama dia hidup dulu, tumbukan itulah yang paling kuat dia pernah dapat sehinggakan dia rasa otaknya bergegar. Dia pusing. Dia cuba bangun untuk menyelamatkan Yasmin namun dia terlewat. 

Yasmin telah diculik pergi. 
Dia hanya mampu lihat Yasmin diangkat lelaki berbadan besar itu. 
Kepalanya benar sakit.

Izrailkah yang tadi itu?

Pandangannya mengabur.
Gelap.




 *****




     “Yasmin!”

Ali terjaga dari tidur.
Nafasnya tercungap-cungap.
Matanya berair.
Badannya berpeluh. Dia pandang sekeliling.

Dia segera sedar yang dia baru sahaja bermimpi.
Ali beristighfar.
Jam di tangan menunjukkan pukul lapan malam.

Ah, itulah siapa suruh aku tidur petang!

Dia bingkas bangun dari sofa menuju ke bilik air membasuh muka.




*****




Keesokan harinya, Ali bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Entah mengapa hari itu dia bersemangat benar untuk hidup. Dia seperti dilahirkan semula. Mungkin mimpi semalam beri dia kekuatan untuk bernafas dengan lebih bermakna pada hari ini. Enjin kereta dihidupkan. Pedal minyak dipijak. Ali menyusur jalan itu perlahan. Lagu kegemaran diputar memecah kesunyian pagi. Mujur tempat kerjanya dekat dengan tempat tinggalnya jadi dia bisa datang awal setiap hari. 

Lima minit kemudian, Ali tiba di tempat kerjanya, SMK Aminuddin Baki. Dia merupakan guru bahasa Melayu di sekolah itu. Sebenarnya dia tidak berapa berminat dengan professionnya sebagai seorang guru tetapi atas desakan kedua ibu bapanya dulu, dia pasrah. Dia meneruskan pengajiannya di maktab perguruan setelah habis SPM. Tapi sekarang persepsinya terhadap profession perguruan telah berubah sama sekali. Dia sedar yang kerjayanya itu satu yang mulia. Tanggungjawab sebagai seorang guru dia fikir harus dilaksanakan dengan penuh dedikasi. Untuk anak bangsa sendiri juga, dia fikir.

 Sedang dia berjalan dengan buku-buku pengajaran penuh ditangan, tiba-tiba dia terlanggar seseorang. Ali terjatuh dengan buku-bukunya sekali.

     “Maafkan saya encik!”

Ali pandang susuk manusia yang melanggarnya. Seorang perempuan dengan rambut yang menutupi sebahagian muka. Perempuan itu membantu Ali mengutip semula buku-buku yang jatuh bersepah di kaki lima.

     “Eh tak mengapa. Salah saya juga jalan tak pandang depan.”

Mereka berdiri dan mereka berdua saling berpandangan. 

Ali terkejut. 
Dia terkesima. 
Lama dia perhatikan wajah perempuan yang dia rasakan dia benar-benar kenal itu.

     “Hi nama saya Yasmin, Cikgu Yasmin. Saya cikgu baru dekat sekolah ni.” perempuan itu memperkenalkan dirinya kepada Ali.

     “Oh hi Yasmin. Saya Ali. Cikgu Ali, cikgu bahasa Melayu di sekolah ni.” jawab Ali dengan sedikit kehairanan di mindanya.

     “Oh great! I pun cikgu Bahasa Melayu. Boleh tunjuk ajar I nanti Cikgu Ali.”

     “Of course! Err, Cikgu Yasmin. Are you sure before ni kita tak pernah jumpa?” Ali bertanya kepada Yasmin. Dia masih tergamam. Dan sedikit perasaan teruja yang dia simpan sembunyi-sembunyi.

     “Haha you ni. I baru je first day dekat sini, manalah I kenal siapa-siapa. You lah orang pertama I tegur ni, itupun sebab I terlanggar” Yasmin berseloroh.

Ali sedikit malu. Dia sendiri tak pasti perempuan dihadapannya itu satu keajaiban atau kebetulan yang Tuhan berikan.

     “Okaylah Cikgu Ali, I nak ke main office ada urusan sikit. Jumpa lagi.” kata Yasmin berlalu tersenyum sopan ke arah Ali. Ali angguk perlahan.

Hati Ali betul-betul tersentak pagi itu. Dia berjalan menuju ke bilik guru hari itu dengan penuh tanda tanya dan jiwa yang penuh bahagia. 

Dia berharap benar yang Cikgu Yasmin juga punya impian besar untuk ke Eiffel Tower seperti Yasmin yang berada dalam mimpinya semalam.




*****




Yasmin berjalan perlahan menuju ke pejabat pengurusan sambil tersenyum. Sejujurnya, hati Yasmin turut tersentak pagi itu. Sebenarnya, dalam diam-diam dia juga turut memikirkan Ali dan mimpinya semalam walaupun dirinya sedikit terkejut semasa peristiwa perlanggaran tadi. Dia pasti Ali juga merasakan perkara yang sama terhadap dirinya.

Dan dia juga tahu dan berharap agar cerita antara dia dan Ali takkan berhenti setakat itu sahaja hanya disebabkan oleh sebuah mimpi.




Kopi.


Lima petang.

Seperti hari Isnin yang lepas-lepas tepat pukul lima petang, Nizam akan lekas-lekas mengemas segala dokumen kerjanya untuk pulang ke rumah. Dia mahu segera rehatkan mindanya yang berkecamuk dengan bebanan kerja. Ternyata, Isnin bukanlah hari yang Nizam gemarkan. Hari yang hektik. Mengarut, baginya.

Entah kenapa mesti wujud hari Isnin dalam kalendar dia pun tak mengerti. Kalau boleh setiap hari Nizam mahukan hari Ahad walaupun perkara itu perkara yang paling mustahil sekali dalam dunia.

Selepas segala dokumen kira-kira dimasukkan ke dalam beg, Nizam bergegas berjalan keluar. Dia tersenyum tawar memandang rakan sekerjanya yang lain sebagai tanda dia mahu pulang ke rumah. Oh ya sebelum terlupa, Nizam sebenarnya bekerja sebagai seorang pegawai bank di ibukota. Selama dia bekerja di situ, Nizam boleh dikatakan sebagai seorang pekerja yang paling suka berahsia dan pendiam dalam kalangan rakan sejawat. Dalam pejabat pun suka menyendiri. Orang fikir dia anti-sosial dan pasif. Tapi sebenarnya tidak, Nizam cuma depresi dengan kehidupan dia sendiri. Dan dia juga seorang pemuda yang pemalu.

Kehidupan sebagai seorang pemuda bernama Nizam tidaklah sebagus yang kalian semua sangka. Hidupnya terus-terusan menyendiri. Walau punya kerjaya yang bagus dan punya rupa tapi dia tetap sahaja begitu. Pendiam sejak dahulu. Mungkin dia punya masalah di masa silamnya. Masih belum punya kepastian.

Dia pandu keretanya pulang. Perlahan menyusuri jalan. Suasana yang sesak dalam perjalanan pulang dipecahkan dengan bait-bait lagu Skinny Love dalam ruang keretanya. Dan sebatang rokok turut dinyalakan—tenang.

Tiba-tiba matanya tertumpu pada satu papan tanda kedai di tepi jalan-Kedai Kopi Mary.

Mungkin kafe barangkali, bisik hati Nizam yang sememangnya tahu secara terang-terangan terdapat perkataan ‘kopi’ di situ. Lantas dengan segera dia pusing stereng kereta lalu menuju ke kafe tersebut.

****

Enam petang.

Secawan kopi dipesan.

Lalu dia duduk di bangku luar Kedai Kopi Mary. Keadaan disitu agak selesa dari berada di dalam kereta menempuh trafik yang menggila. Lewat petang yang redup itu, dia nikmati sendiri. Kopi yang dipesan segera tiba. Dia hirup perlahan—lega. Dia rasakan yang kopi punya kuasa magis tersendiri yang bisa menenangkan sesiapa sahaja, tapi jikalau diambil secara berlebih, boleh ketagih.

Fikirannya terus menerawang.
Tak lama kemudian, secara tiba-tiba, pandangannya tertumpu pada satu susuk gadis yang fikirnya baru sahaja pulang dari kerja dan secara tiba-tiba singgah ke kedai itu, seperti dirinya juga. Gadis itu kelihatan jelita dan bergaya. Dia punya naluri yang kuat mengatakan yang gadis itu gadis yang sombong dan angkuh. Dan punya ego yang tinggi setinggi angkasa.

Mudah benar Nizam membuat kesimpulan. Paranoid mungkin.

Gadis yang Nizam perhatikan tadi memesan sesuatu di kaunter dan tak lama kemudian dia duduk di sebelah meja Nizam. Keadaan kembali tenang seperti tadi. Nizam keluarkan telefon bimbit di poket seluar. Dia klik pada ikon burung biru. Dan aplikasi Twitter terbuka. Perlahan dia skrol skrin telefon bimbitnya.

Chempaka followed you.

Oh, ada follower baru rupanya, bisik Nizam dalam hati sambil tersenyum.

Nizam yang suka bersendiri itu lebih gemar meluahkan segala apa yang dia simpan dan dia rasa di akaun Twitternya. Dia merasakan perkara itu lebih selesa dan buat dia lebih ‘hidup’. Tambahan pula dia tidak menggunakan nama sendiri sebaliknya menggunakan nama Pria sebagai ganti nama diri. Mungkin ada benar dia kurang rasa berani dan yakin dengan dirinya itu. Tapi realitinya, Nizam memang begitu.

Dia baca satu-satu, setiap baris aksara, setiap patah kata yang di-post oleh Chempaka, follower barunya itu tadi. Dan tiba-tiba, matanya terhenti pada satu tweet yang dia rasakan amat menarik;

“Drink a cup of coffee here at Kedai Kopi Mary. Sitting next to a stranger - a man with a cute face.”

Nizam seolah-olah dapat merasakan bahawa gadis yang dia rasakan sombong dan angkuh yang duduk disebelahnya itu adalah Chempaka. Perasan betul Nizam. Mana dia tahu dia cute pun aku tak pasti?

Nizam retweet.
Dan kemudian dia balas;

“Maybe a simple hello to him could lead to a thousand things.”

Dia taip dan dia tweet.
Kemudian dia tunggu. Menunggu telefon bimbitnya itu berbunyi untuk notifikasi seterusnya.

Ping! Ping!, telefon bimbit Nizam bergetar.

Nizam ambil telefon bimbitnya dan dia ketawa perlahan. Ternyata Chempaka membalas tweet yang Nizam hantar tadi. Chempaka tulis begini;

“I shy hehe. Dia macam moody semacam and he looks serious. But he’s cute definitely haha.”

Nizam mula merasakan gadis disebelahnya itu comel walaupun diri dia sendiri tak pasti apa benar atau tidak gadis itu ialah pemilik akaun bernama--Chempaka.

Nizam perhati secara sembunyi-sembunyi setiap gerak-geri gadis disebelahnya yang dia sangkakan Chempaka itu. Gadis itu tersenyum memandang telefon di tangan. Naluri pemuda itu semakin kuat mengatakan yang gadis itu memang Chempaka, follower baru akaun twitternya!

Nizam sedar yang perkara ini mungkin kebetulan. Atau mungkin suratan Tuhan.  Jadi, dia harus lakukan sesuatu sebelum terlambat. Perkara seperti ini jarang-jarang berlaku dalam hidup manusia. Dan dia perlu bertindak pantas!

Begitulah yang Nizam fikir dalam benak pemikiran. Nizam mula galau. Kerana dia sedar yang dia itu pemalu. Tapi dia harus buang rasa malu yang menebal itu jauh-jauh untuk beberapa ketika, tak lama.

****

Tujuh malam.

Nizam masih duduk di situ. Dalam keadaan diam dan kaku. Setelah berjela-jela berbalas tweet dengan Chempaka, dia yakin benar yang gadis disebelahnya itu, yang pada awalnya dia sangkakan sombong dan angkuh, dan tak lama kemudian dia fikirkan gadis itu comel, benar-benar Chempaka. Follower baru di Twitternya. Pasti. Muktamad.

Namun sayangnya dia masih belum punya berani untuk menegur. Dia secara sembunyi-sembunyi terus mencuri pandang gadis itu.

Tiba-tiba, gadis itu berdiri dan berjalan menuju ke kaunter. Rasa kecewa mula menguasai hati Nizam. Kecewa dengan diri sendiri kerana tak punya rasa berani.

Sebelum sempat menegur, gadis itu berlalu pergi. Nizam terus menangis dalam hati meratapi kepergian gadis itu sehingga hilang menjadi satu titik di matanya—noktah.

Hari itu Nizam rasakan gelap secara mendadak. Dia berdiri pergi ke kaunter pembayaran dengan hati yang pilu.

How much?, tanya Nizam dalam nada yang separuh sedih tapi masih mengekalkan ciri-ciri maskulin.

Ten ringgit, sir. Jawab pekerja kafe (Adil).

Nizam mengeluarkan not sepuluh ringgit Malaysia dan dia berikan kepada pekerja kafe (Adil) itu. Dan dia berjalan perlahan keluar dari Kedai Kopi Mary.

Telefon bimbit Nizam berbunyi.
Oh, rupanya ada notifikasi.
Nizam buka, dan dia baca.

 “Nice to meet you, Pria. Saya tahu, kita masing-masing malu. Harap dapat jumpa lagi esok ;) - Chempaka”

Nizam tersenyum. Kali ini, senyum dia lebih bermakna dari sebelumnya. Dia jerit terima kasih kepada pekerja kafe (Adil) dan dia juga turut bilang jumpa lagi esok! dari pintu Kedai Kopi Mary. Semua pengunjung Kedai Kopi Mary memandang Nizam dalam keadaan hairan. 
Tapi Nizam peduli apa, dia tengah bahagia.


Dan hari Isnin itu, seorang pemuda yang bernama Nizam pulang dengan hati yang berbunga-bunga. Dengan jiwa penuh rasa cinta, buat kali pertama.



Orked.


Petang yang penuh melankolik itu, Orked berdandan indah serba-serbi. Dengar cerita, dia sudah berjanji, dengan Adi, seorang pemuda dari Kampung Bota Kiri, jam empat setengah petang di tepi sawah milik Pak Deli. Sengaja Orked mahu bertemu Adi di situ kerana Adi memang bekerja di bendang tiap-tiap hari. Sebenarnya kalau nak tahu, hari-hari pun Orked memang tak lupa untuk berjumpa dengan lelaki yang dia suka itu di tempat yang sama, sejak dua tahun kebelakangan ini.

Dia bersiap awal-awal. 
Dengan kurung kapas putih bercorak bunga-bunga kecil itu, dia capai basikal. 
Mangkuk tingkat diletak dalam bakul depan berisi bekal, dan dia mula memijak pedal.

Perlahan dia kayuh dengan senyuman di bibir yang tak lepas-lepas. 
Rambutnya yang panjang lurus itu beralun mengikut angin yang tak kuat dan tak juga deras.

Orked kelihatan indah dalam redup petang itu.

Tak lama kemudian, dia tiba di tepi sawah, dia menongkat basikal di tepi jalan kampung. 
Anak matanya mengecil mencari-cari sesuatu dalam hijau bendang yang luas terbentang. 
Mencari susuk tubuh manusia yang dia cinta. Yang dia suka, lagi dia puja.

Mana pula Adi ni?, bisik Orked dalam hati.

Dia duduk di pondok kecil tepi sawah menunggu Adi. Dia pasti Adi datang sekejap sahaja lagi.

Angin yang berpuput lembut lewat petang itu, Orked nikmati puas-puas. 
Matanya dipejam rapat-rapat.
Segala perkara Orked rasakan manis-manis belaka.
Semanis rasa cinta dan rindu yang ada dalam jiwa gadis kecil itu.
Satu-satu kenangan antara dia dan Adi, bermain dalam kotak memori.

“Orked..”

(JEDA)

Orked terdengar suara pemuda berbisik dalam telinganya tiba-tiba. Seraya itu dia buka mata;
Dia cari.
Dia cari.
Dia kenal suara itu milik Adi.
Tapi yang ada hanyalah diri dia sendiri.

“Mana Adi” kata Orked dalam hati.

Airmata Orked jatuh perlahan di pipi.
Mengalir lesu. Selesu cahaya matahari lewat petang sepi.
Di pondok kecil itu, sendiri dia meratapi rasa sedih dan rasa pilu dalam hati.

Untuk dua tahun ini, Orked tak pernah penat untuk melupakan Adi.
Walaupun kini dia sedar yang Adi tak ada lagi dalam realiti.

Dia berdiri dalam kelemahan dan berjalan pulang dalam kesedihan.

“Esok Orked datang lagi”

Juta-juta memori antara Orked dan Adi kekal tersimpan di Pondok kayu sebelah sawah itu sampai bila-bila. Orked tahu selagi dia mampu setia, Adi pasti 'ada' tiap hari tiap mimpi.

Sampai mati.



Cerita pasal James, seorang hijabster dan Liyana Fizi.


Dalam sibuk-sibuk keadaan di ibukota itu, ada seorang pemuda separa hipster, Ahmad Jamil atau lebih dikenali sebagai James dalam kalangan teman-teman. 

Hari minggu itu, James keluar seorang-seorang di ibukota. Sengaja dia keluar tanpa mengajak siapa-siapa yang tinggal dengan dia di rumah sewa. Dia mahu sendiri. Dia mahu lari. Sebenarnya, dia tertekan dengan hidup sendiri.
James, James. (geleng kepala).

Khabarnya, hari itu James mahu pergi jumpa seseorang. Entah betul atau tidak penulis sendiri pun kurang pasti. Dia duduk menunggu bas awam di pondok bas. Rokok dibibir sentiasa tak lepas. Asap dihembus bebas. Berterbangan asap bauan keras. Masih belum ada bayangan bas yang ditunggu James. Ah, James sudah tak sedap hati. Lambat betul bas ni. James paksa hati untuk bersabar. Syukur James masih punya iman untuk bersabar sedikit.
Tak lama itu, dalam kurang lebih lima minit dua puluh saat, datang seorang gadis berhijab menghampiri James. Lama James perhati gadis itu. Atas bawah atas bawah. Bertudung lilit ala-ala Yuna, berbaju kemeja kotak-kotak kecil warna biru gelap, skinny jeans lusuh warna hitam, dengan kasut converse. Amboi manis, kata James dalam hati secara senyap-senyap. 
James membuat kesimpulan yang gadis itu---hijabster.

Hai, kata James. Gadis itu hai James balik dengan sedikit senyuman tambahan.

Kemudian mereka diam tanpa sebarang kata-kata untuk sepuluh minit seterusnya. James malu, rasanya. Malu dia masih tebal lagi sebagai lelaki Melayu asli dan lagi satu dia tak punya rasa berani. Akhirnya dalam diam-diam, bas yang ditunggu-tunggu telah tiba. Total masa yang James gunakan untuk menunggu bas adalah dalam kurang lebih empat puluh minit. Tapi disebabkan ada gadis hipster tadi dia rasa masa itu berlalu dengan pantas betul.

Maka, mereka dua-dua orang itu pun menaiki bas.

James dengan gadis itu duduk sebelah-sebelah dalam bas itu sebab masa mereka dua-dua naik bas tadi, betul-betul ada dua kerusi kosong. Mungkin kebetulan atau mungkin ketentuan. Tak pasti. James dapat rasa yang dia dengan gadis hipster ala-ala Yuna tadi ada jodoh yang kuat.
Paranoid betul James, entah apa-apa.
James cucuk telinganya dengan alat pendengarnya. Lagu Liyana Fizi diputarkan dalam volume yang paling kuat dia boleh buka.

Awak dengar Liyana Fizi?, tiba-tiba gadis itu menegur James. James yang tidak mendengar kerana volume yang terlampau kuat tak perasan gadis itu menegurnya. Gadis itu cuit James dan James toleh. James tanya, ada apa?

Awak dengar Liyana Fizi?, gadis itu menyoal James dengan soalan yang sama.

James jawab, ya.
Dan gadis itu suka.

Lantas dia mengajak James bercinta dengannya dan mereka berbahagia hingga ke anak cucu.
-
-
-
Celaka, ini tak lojik!


Dua.


Entah kenapa dia rasakan yang hari itu merupakan hari yang paling malang dalam hidup dia. Dia ini merujuk kepada satu susuk tegap lelaki yang tinggal di ibu kota yang sibuk serba serbi. Namanya Ali. Lingkungan awal 30-an. Bujang lagi. Tak kaya dan tak juga miskin. Sedang-sedang sahaja. Dia baru sahaja dipecat oleh majikannya dengan alasan kerjanya tak berkualiti, dan dia juga tak bermotivasi.

Kasihan Ali.

Dia berjalan menuju ke parkir kereta. Bayangkan sahaja kamu di tempat Ali dalam keadaan sedih dan kecewa. Pilu dalam hati, tak siapa sudi kongsi.

Dia menekan kunci keretanya.

Beep! Beep! Alarm daripada kereta perodua Myvi berwarna hitam miliknya itu berbunyi. Itu sahajalah harta yang Ali punya dan terpaling dia sayang.

Sedang dia mahu buka pintu keretanya, tiba-tiba datang dua orang manusia bersaiz sasa besar lagaknya macam orang-orang bina badan menghampiri Ali. Rupanya mereka itu tukang tarik kereta. Mereka bilang sudah lebih tiga bulan kereta Ali tidak bayar. Maka tujuan mereka itu datang untuk tarik kereta Ali. Ali yang seorang itu tak berdaya melawan kata-kata mereka apalagi beradu tenaga. Ali serahkan kunci dengan berat hati. Ali berjanji untuk bayar bila punya ongkos yang mencukupi.

Kasihan Ali.

Dia putuskan untuk berjalan kaki sendiri. Dengan beg pejabat dibimbit rapi, menuju ke stesen elarti.

Entah kenapa dia benar rasakan yang hari itu merupakan hari yang paling malang dalam hidup dia.

Dua puluh minit kemudian, dia tiba di stesen elarti Masjid Jamek. Suram sahaja dia rasakan hari itu, mungkin banyak perkara buruk yang berlaku. Dalam peluh-peluh itu, dia duduk sambil menunggu. Tunduk melangut. Dia mula fikir tentang masa depannya yang kini dia ingat mula gelap gelita tak punya harapan langsung. Kecewa benar kecewa. Dia kini tak punya apa harta. Rumah pun menyewa. Ada kereta pun serupa tak ada. Nasib baiklah dia masih punya sedikit simpanan di bank. Syukur dia masih punya lega dalam keadaan yang paling serabut itu.

Balik kampung sahajalah. Kerja di kampung tak perlu fikir bayar itu bayar ini. Fikir Ali begitu.

Tolol, apa dia fikir dia hidup dalam zaman Tanah Melayu baru merdeka? Zaman sekarang semua perlu ongkos. Disebabkan oleh yang namanya undang-undang, manusia sendiri yang gubal.

Dia benar rasa putus asa.

Kasihan Ali.

“Excuse me, ada orang tak?”

Tiba-tiba lamunan Ali hilang selepas terdengar suara wanita menegurnya. Ali toleh, lalu terdiam. Dia terpandang satu jenis wanita yang cantik, sumpah tak tipu. Berbaju kurung cotton bercorak bunga-bunga kecil, rambut lurus panjang, bermata bulat-bulat dan berkulit putih gebu-gebu. Apalagi? Oh ya, bayangkan sahaja wanita yang menegur Ali itu persis Sharifah Amani tapi dalam versi rambut panjang. Boleh?

“Eh, duduklah. Tak ada orang pun.” jawab Ali sambil cuba mengukir senyum yang sebaliknya tersembunyi sejuta kesedihan.

Lalu, wanita itu duduk disebelah Ali.

Sepi.



********



Nama dia Nisa. Itu nama pendek. Nama panjangnya Nurul Anisa binti Haji Ahmad. Kawan-kawan di tempat kerja panggil dia Ann. Masa di sekolah, ramai yang panggil dia Anis. Syed, budak jahat di kampung panggil dia Anisa Montel sebab dulu dia gemuk-gemuk manja, walaupun sekarang dia kurus macam model. Tapi sekarang, dia lebih gemar manusia di sekeliling memanggilnya dengan nama Nisa. Comel mungkin. Entah, biasalah perempuan.

Hari itu, dia bangkit dari tidur seawal yang mungkin. Dia merasakan yang hari itu merupakan hari yang paling indah buat dirinya. Selepas bersiap-siap dalam keadaan yang paling jelita dia rasa, dia bergegas keluar rumah untuk pergi ke tempat kerja. Sudah lama dia tunggu hari itu untuk dia luahkan isi hatinya pada seseorang yang dah lama dia suka. Tapi tak pasti kenapa baru hari itu dia punya keberanian untuk meluah isi hati pada orang yang dia suka itu.

Tiga puluh minit kemudian, dia tiba di pejabat. Dalam keadaan yang paling jelita dia rasa, dia berjalan perlahan menuju ke meja yang tertulis jawatan – setiausaha. Merujuk kamus dewan, setiausaha ialah orang yang diambil bekerja untuk mengurus urusan surat-menyurat (dan etsetera-etsetera) untuk seseorang individu.

Nisa duduk di kerusinya. Elok-elok.

Tak lama kemudian, dia tersenyum bahagia. Mungkin orang yang dia suka itu ada depan mata. Berjalan penuh karisma dalam keadaan yang serba-serbi kemas. Kacak. Bergaya. Tampak mewah.

“Good morning, Nisa”

Itulah perkataan awal yang setiap hari dia dengar dari pemilik suara itu kecuali pada hari minggu. Kalau boleh mahu dia rekodkan perkataan itu dan dia ulang-ulang sebanyak yang dia mahu setiap pagi kerana dia rasakan perkataan itulah yang buat jiwa dia bunga-bunga. Rupanya, suara itu milik majikannya, Encik Hafir. Nisa sukakan majikannya itu sendiri. Sungguh tak sangka-sangka, besar impian wanita ini. Mahu bersuami manusia yang ada-ada. Dia tak ukur baju di badannya kah?

“Morning, Encik Hafir.” balas Nisa tersenyum kesipu-sipuan.

Encik Hafir masuk ke dalam biliknya.

Nisa bergegas masuk ke pantri. Tak lama kemudian dia keluar membawa secawan kopi dan masuk ke dalam bilik Encik Hafir, majikannya itu.

“Encik Hafir, ini kopi encik.”

“Thanks, Nisa. Hm Nisa, I want you to call Mr. Amir, I want to see him right after this.” kata Encik Hafir dengan tegas.

Nisa mengangguk dan tersenyum lalu keluar dari bilik itu. Dia panggil Amir suruh Amir masuk jumpa bos. Selepas itu dia duduk. Tersenyum lagi. Tak habis-habis tersenyum. Biasalah perempuan.

Dia berbangga kerana dia rasakan dia seorang sahajalah wanita yang sudah benar-benar kenal dengan hati budi Encik Hafir. Seorang yang tegas, tapi punya hati yang lembut. Punya karisma yang tinggi yang ramai wanita di luar sana idam-idamkan, tapi dia sahaja yang selalu bisa dekat dengan Encik Hafir walaupun dalam keadaan yang formal sentiasa, dalam lingkungan dua tahun dia bekerja di syarikat itu.

Dia sudah rancang cantik-cantik, yang hari itu dia mahu luah isi hatinya pada Encik Hafir. Dan dia juga telah bersedia menerima apa sahaja kemungkinan. Dia sudah berjanji untuk buang egonya jauh-jauh. Dengan keberanian yang dia ada, tak lama kemudian dia bawa satu bungkusan kecil di tangannya. Bangun dan berjalan menuju ke bilik Encik Hafir dalam keadaan yang dia rasakan terpaling jelita.

Tiba-tiba datang seorang wanita. Seksi. Menggeletis keadaannya.

“Hi, boleh I jumpa dengan Mr. Hafir I tak?”

“Awak siapa? Ada buat appointment ke?” balas Nisa dalam keadaan terkejut. Bungkusan kecil itu cepat-cepat dia sembunyikan di belakang tangannya.

“You tanya I siapa? You tak kenal I ke?! I lah tunang Mr. Hafir, bos you!” kata wanita itu dalam keadaan yang marah dan angkuh. Sedikit gedik. Geram mungkin.

Riak muka Nisa berubah. Tak tahu pula dia majikannya itu sudah punya tunang. Dia berasa sedih. Hatinya bagai dipijak-pijak. Maruahnya seperti dicalar-calar.

Encik Hafir yang terdengar bunyi bising di luar biliknya bergegas keluar.

“Sayang, you tengok perempuan ni, dia tak kasi I jumpa you.” Ujar wanita itu selepas Encik Hafir keluar dari biliknya lantas dia memeluk Encik Hafir.

“Sorry, Nisa. She’s my fiancée. Dia ni memang macam ni.” Kata Encik Hafir kepada Nisa sambil tersengih geram memandang tunangnya itu. Tak lama kemudian mereka berdua masuk ke dalam bilik.

Nisa tak dapat terima realiti itu. Dia benar sedih.

Hari itu, dia putuskan untuk meminta kebenaran pulang lebih awal kerana dia ada kecemasan. Tapi itu semua alasan. Dia sebenarnya tak punya kekuatan untuk berjumpa dengan majikannya itu. Dia malu. Tersangat malu. Dia berjalan sendiri menuju ke stesen elarti. Airmatanya tunggu masa untuk jatuh. Tapi dia cuba tahan takut manusia disekeliling memandangnya pelik jika dia menangis sendiri.

Sepuluh minit berjalan, dia tiba di stesen elarti terdekat. Dalam ramai-ramai manusia di situ, dia merasakan dia sahaja yang seperti hilang arah tuju. Dia tak punya siapa untuk berkongsi masalah. Dia betul-betul sendiri.

“Excuse me, ada orang tak?” Tanya dia kepada satu susuk tubuh lelaki yang duduk sendiri di satu kawasan yang tak berapa ramai manusia. Dia mahu sedikit ruang untuk hibernasi jiwa.

“Eh, duduklah. Tak ada orang pun.” Jawab lelaki itu sambil tersenyum.

Nisa duduk perlahan.

Sepi.



********




Sepi itu terus menguasai ruang-ruang masa antara Ali dan Nisa.

Seminit.

Dua minit.

Tiga minit.

Ali masih tak punya keberanian untuk menegur Nisa. Nisa masih juga berdiam sedih. Sambil mula mengelap titis-titis airmata yang jatuh tak tertahan lagi.

Ali kaget.

Dia mahu cuba untuk tenangkan Nisa. Dia berikan tuala kecil miliknya itu kepada Nisa yang menangis perlahan yang tak lama kemudian semakin kuat esak tangisnya.

“Awak okay” tanya Ali dan seraya itu Nisa memeluk Ali. Lagilah Ali bertambah kaget. Orang sekeliling mereka memandang Ali dalam keadaan yang terpaling aneh. Ali benar kaget seolah dia melakukan sesuatu yang jahat. Sejahat-jahat iblis.

Ali terus cuba tenangkan Nisa. Dia mengusap bahu Nisa perlahan dan lembut.

“Awak janganlah macam ni, orang pandang kita lah.”

Nisa segera sedar yang dia sedang berada dalam rangkulan seorang stranger. Segera jugalah dia mengesat tangisannya itu dengan tuala kecil milik Ali. Matanya merah dan masih berair. Pilu.

“Maafkan I, I tak sengaja” ujar Nisa tersekat-sekat.

“Nasib baik I ni orang baik-baik. Kalau you peluk orang jahat macamana?” Ali cuba memecah suasana pelik itu dengan sedikit humor yang dia ada. Tak pasti sama ada hambar atau tidak. Kalian sahaja yang tentukan.

Nisa terketawa malu. Kali ini ketawanya manis sekali. Cair Ali jadinya.

“You okay ke tak ni?” tanya Ali.

“Okay” jawab Nisa.

Tak lama kemudian dia sambung, “Sebenarnya tak okay” sambil menunduk. Keadaan kembali dalam mood sedih.

“Kalau you tak kisah, you kongsilah masalah you dengan I. Maybe boleh kurang sikit sedih you tu.” Ali balas.

Keadaan sepi seketika. Bayangkan ketika itu, Ali hanya memandang Nisa dengan penuh harap. Nisa pula masih tertunduk sayu.

Ali masih berharap Nisa membalas pertanyaannya tadi. Dan tiba-tiba, Nisa bersuara.

“Sebenarnya, I baru lepas kena reject dengan orang yang I suka.” Katanya lantas menangis lagi. Airmatanya jatuh tak tertahan. Ali sudah agak perkara itu, kalau tak sedih sebab kerja mesti sebab lelaki. Biasalah perempuan.

“Sebenarnya, I pulak baru lepas kena pecat. Kereta I baru lepas kena tarik.” Ujar Ali. Entah kenapa tiba-tiba dia luahkan segala dukanya itu pada Nisa.

Nisa yang menangis itu terberhenti menangis mendengar kata Ali. Dia berasa serba-salah kerana dia asyik fikir sedihnya sahaja tanpa fikir masalah orang sekeliling.

Keadaan senyap seketika. Kedua-dua mereka tunduk. Masing-masing dengan sedih masing-masing.

“You okay?” tanya Nisa pula sambil memandang Ali.

Mereka saling berpandangan.

“Entahlah tadi tak okay. Tapi lepas I jumpa you, I rasa lega sikit.”

“Eh, kenapa pula?”

“Sebab I ada someone untuk I kongsi sedih I. Terima kasih” ujar Ali tersenyum (kali ini tanpa mencuba) sambil memandang Nisa.

Nisa turut tersenyum walaupun matanya merah dan masih berair.

“You pun, terima kasih.” balas Nisa memandang Ali. Manis sekali.

Dalam keadaan yang sedih dan pilu itu mereka berdua berkongsi cerita duka.

Hari itu, mungkin hari yang terpaling sedih bagi Ali dan Nisa. Tapi mungkin hari itu juga hari yang indah untuk dikenangkan buat mereka berdua.

Benar, Tuhan itu sudah atur siap-siap setiap perkara untuk setiap makhluk ciptaan-Nya. Berhikmah. Setiap duka yang datang, pasti tersembunyi sedikit tawa.

Cinta itu terkadang datang tanpa kamu undang, tapi kalau memang dua jiwa itu Tuhan ciptakan untuk bersama, bahagia itu pasti ada.

Sampai syurga.


tiada deskripsi #44

Aku mengenal tentang kita di tanah gersang itu.
Yang mana dulu aku benci kini aku sadar aku mula rindu.

Aku rindu semua tentang kita yang dulu.
Walau aku tahu kita terkadang tak sebulu.
Kita selalu ada untuk kita bila kita saling perlu.

Yang kini semua itu entah hilang kemana-mana.
Semua dengan arah yang punya banyak beza.
Aku harap benar kelak kita punya masa tuk bersama semula.

Kerna aku tahu jauh manapun kita terpisah dalam ruang masa.
Kita masih punya rasa tuk kekal bersama.
Kita tetap kita jangan pernah berubah jiwa.

(Seri Iskandar / 2010-2012)


tiada deskripsi #43

Kala subuh hening ini.
Sang adiwira cuba karangkan satu kata berakta wangi.
Tuk sang manusia yang jauh dari sisi hati.

Adiwira ini bukanlah punya apa.
Tak punya banyak harta.
Apa lagi yang mewah berjenama.
Tapi sudilah engkau manusia, terima apa yang dia punya.
Kerna ukuran bahgia itu tak melihat berapa kaya.
Lagikan paras rupa.
Yang punya adiwira ini biasa-biasa saja.

Maafkan dia dengan kurangnya ini.
Harap sang manusia yang jauh dari sisi hati ini mengerti.
Dengan yang namanya adiwira ini.
Kerna dia sentiasa berusaha tuk terus-terus majukan diri.
Dan dia tak pernah sekalipun cuba tuk berpaling posisi hatinya itu tuk kamu, rusuk kiri.


tiada deskripsi #42

Perlahan-lahan kamu curi hati aku.
Dan kamu bawa lari jauh kemana-mana.

Tiap masa kamu buat aku jatuh rindu.
Dengan segala yang perihal tentang kita-kita.

Larilah.
Larilah kemana saja kamu mahu.
Asal kamu tak pernah lupa tuk hati-hati.

Dengan segala rasa yang pernah kita kongsi.
Biar dibawa sampai kita mati.


tiada deskripsi #41

Ini cerita tentang dia. Bayangkan saja dia ini adalah kamu.

Dia dulu pernah ada satu kawan. Yang mana kawan dia itu waktu kecil-kecil selalu bersama waktu susah waktu senang. Kadang-kadang, adalah bergaduh juga sedikit-sedikit. Tapi tak lama, sebab dia fikir kawan dia itu sejenis kawan yang memang boleh dia percaya sampai mati. Bayangkan saja nama kawan dia itu Farid (bukan nama sebenar).

Rumah Farid dengan rumah dia ini dekat dekat. Rumah Farid belakang rumah dia. Rumah dia depan rumah Farid. Jadi, setiap hari dia dengan Farid pasti akan berjumpa. Malah ke sekolah pun selalu sama-sama. Dia paling gemar bermain perang-perang dengan Farid. Farid juga gemar bermain tanah dan lumpur dengan dia. Setiap hari ada saja yang dimainkan.

Paling dia tak lupa, bila balik dari sekolah waktu petang, dia dengan Farid pasti bermain askar-askar. Dia jadi askar atas-atas, Farid jadi askar bawah-bawah. Mereka akan panjat rumah-rumah kosong tepi kedai Kak Ida, lalu semak-semak, lalu longkang-longkang tepi jalan besar, merangkak-rangkak dekat pasir rumah Cik Saad dan eksetra-eksetra. Perkara itu berlaku selama empat tahun kurang lebih. Dia faham benar Farid bagaimana dan begitu jugalah sebaliknya.

Satu hari, entah macamana Farid mahu pindah. Maka, dia itu sedih benar. Dia tahu untuk esok dan hari-hari yang mendatang, dia sudah tidak ada kawan baik lagi. Dia tidak boleh jadi askar atas-atas lagi. Dia tidak boleh bermain tanah dan lumpur lagi. Walau dia tahu Farid pindah di mana, tapi dia tak pernah berjumpa Farid sejak itu. Farid pun tak pernah kirim khabar berita. Masa itu tidak ada facebook. Tidak ada Twitter. Myspace pun belum wujud lagi. Belum. Kalau ada pun masa itu, dia pun berharap benda benda itu semua jangan pernah wujud. Entah mungkin ini benda biasa bagi semua orang, tapi bila bercakap pasal kawan waktu kecil-kecil itu yang paling susah untuk semua orang hendak lupa bukan? Mungkin masa kecil semua orang betul-betul suci bersih dari sifat dengki dan khianat dengan kawan-kawan sendiri. Dan masa kecil, kita semua masih bersih hati dari ideologi yang entah apa-apa.

Iya, itulah.

Walau hilang jauh dari mata, dalam kenangan itu, 'kita' tetap hidup sampai bila-bila.

tiada deskripsi #40

Pagi itu dia bingkas bangun dari tidur.
Bersiap-siap berbaju gaun putih.
Bercorak bunga warna merah jambu.
Manis benar manis.
Molek benar molek.
Rambutnya diikat tocang dua.
Beriben merah jambu.
Bergincu merah jambu.
Pendek kata semua merah jambu kecuali bajunya putih.

Lalu selepas dia selesai semuanya.
Dia lantas keluar dari rumah.
Terbang melayang ke udara.
Dengan kuasa yang dia ada.
Dia petik awan awan.
Tuk dia jadikan gula-gula kapas.
Dia kembali ke bumi dan dia beri pada anak-anak kecil.
Yang selalu berduka.
Yang selalu didera.
Yang selalu dipukul dihina ditertawa.
Dia taburkan debu debu magis pada gula-gula kapasnya.
Lalu si anak kecil menyusun tawa ria.

Oh rupanya dia ini si pari pari!
Kerjanya buat orang bahagia sentiasa.

(Bayangkan saja pari-pari itu persis Liyana Fizi dengan sayap sayap kecil dibelakangnya)

tiada deskripsi #39

Aku ini punya satu rahsia.
Yang kalau boleh mahu aku luahkan.
Luahkan pada dunia.
Yang kalau satu dunia itu mahu tahu.
Betapa aku suka benar pada kamu.

Tapi aku masih tak pasti.
Sama ada aku tak punya rasa berani lagi.
Atau mungkin belum tiba waktu yang ku ingini.
Untuk aku bersaksi pada bulan dan bumi.
Hanya kamu yang aku mahu tuk milik hati ini.

Aku benar harap kamu tak salah mengartikannya.
Kerna aku benar tahu.
Walau kita banyak beda.
Kamu dan aku banyak juga samanya.


tiada deskripsi #38

Semuanya itu tlah usai.
Melangkah pergi.
Jauh dari sisi hati.
Yang buat jiwa ini mati.

Aku lega.
Lepas lelah dari segala.
Yang tak pernah buat aku rasa tenang.
Dan tak pernah sekalipun buat aku rasa bahgia.

Aku tahu benar.
Kapan esok atau lusa.
Dia pasti lagi datang.

Dan aku tlah pun bersedia segalanya.
Kerna aku tahu aku watak utama dalam hidupku sampai bila-bila.

Tiga Ramadan-Dua Puluh Satu.

tiada deskripsi #37

Kalau kau mahu tahu, aku tenang disini.
Kau pergilah terbang jauh manapun kau suka.

Kalau kau mahu tahu, aku tetap tunggu di koordinat hati ini.
Supaya bila kau pulang nanti aku mahu kau tahu, aku tetap ada disisi.

 

KEPUNYAAN MUTLAK AMRLHLM 2010©. KOT.